Rabu, 9 Mei 2012

Nazmi Faiz bakal sertai kelab S.C Beira-Mar



KELANA JAYA 9 Mei - Pemain remaja skuad Harimau Muda, Mohd. Nazmi Faiz Mansor hari ini mengesahkan bahawa beliau telah dipelawa oleh S.C Beira-Mar untuk menyertai kelab Divisyen Satu, Priemera Liga Portugal itu.
Nazmi Faiz yang ditemui ketika mengadakan latihan di Padang FAM di sini berkata, beliau dan bapanya akan berlepas ke Portugal bagi mengikuti sesi pemilihan kelab tersebut pada 14 hingga 21 Mei ini. - UTUSAN

                                                                   Sport Clube Beira-Mar

Liga Super : N9 RATAH SELANGOR





HAJAT Selangor meraih kemenangan berturut-turut buat kali pertama musim ini tidak kesampaian, sebaliknya mereka pula diaibkan di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi ke-16 Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Dengan keputusan itu, Negeri Sembilan kini hanya satu mata kurang berbanding Selangor yang kekal di tangga keempat liga dengan 24 mata dan ketinggalan dua mata dengan pasukan tangga ketiga, Terengganu yang kurang satu perlawanan.
Gawang Selangor bocor seawal minit pertama berpunca daripada salah faham barisan pertahanan dan penjaga gol, G Jeevananthan yang mudah dimanfaatkan penyerang Negeri Sembilan, Firdaus Azizul untuk gol pertama pelawat. 

Selangor yang menguasai permainan selepas itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16, namun sepakan Safiq Rahim hasil gerakan satu dua menarik dengan Bosko Balaban sempat ditepis keluar penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias. 

Firdaus terpaksa digantikan Nazrin Nawi pada minit ke-30 selepas mengalami kecederaan tetapi empat minit berselang, Negeri Sembilan berjaya menambah gol kedua menerusi rembatan kencang Ahmad Shakir Md Ali di depan pintu gol selepas tandukan awal Marian Farbak sekadar ditepis lemah Jeevananthan. 

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan terus selesa apabila berjaya mendapatkan gol ketiga, juga menerusi Ahmad Shakir pada minit ke-63 selepas percubaan tidak berbahaya penyerang kebangsaan itu dari luar kotak penalti sudah cukup untuk memperdayakan Jeevananthan yang tersalah langkah. 
Gol sagu hati Selangor hanya menjelma pada masa kecederaan menerusi penyudah kemas Balaban untuk gol kelapannya dalam saingan liga musim ini.

Ahad, 6 Mei 2012

Piala AFC : Terengganu Pincang Tanpa Tonggak Utama ke Hong Kong


KUALA TERENGGANU 6 Mei - Terengganu akan turun menentang Kitchee Hong Kong dalam perlawanan terakhir kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Hong Kong 9 Mei ini tanpa penyerang berbisanya.
Penolong pengurus pasukan, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, ini kerana ramai pemain utama Terengganu seperti penyerang sensasi Francis Forkey Doe dan Abdul Manaf Mamat tidak turut serta kerana tercedera.


"Selain itu, Reeshafiq Alwi dan Nordin Alias juga tidak akan diturunkan kerana prestasinya tidak begitu memuaskan," katanya ketika dihubungi Bernama selepas mesyuarat pengurusan pasukan hari ini.
Bagaimanapun, Sheikh Tajudin berkata pasukan Terengganu tidak akan terjejas walaupun tanpa pemain-pemain tersebut.
Terengganu tewas 2-0 kepada Kitchee pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 20 Mac lalu.
Terengganu telah melayakkan diri ke pusingan kedua piala tersebut setelah muncul naib juara kumpulan dengan sembilan mata manakala Kitchee pula juara kumpulan dengan 10 mata.
Sheikh Tajudin berkata misi Terengganu ke Hong Kong ialah untuk menang bagi membolehkan pasukan itu muncul sebagai juara kumpulan walaupun tanpa ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris yang direhatkan dua minggu sehingga 15 Mei ini.
Selain Terengganu dan Kitchee, pasukan lain dalam kumpulan F ialah Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Tampines Rovers (Singapura).
Beliau berkata Terengganu mempunyai jadual yang padat selepas kembali dari Hong Kong dan akan menentang pasukan Felda United di Melaka (12 Mei) dan Sarawak di Terengganu tiga hari selepas itu untuk kejohanan Liga Malaysia. - BERNAMA

Sabtu, 5 Mei 2012

Butler Bakal Jurulatih Terengganu Yang Baru?

Bekas Jurulatih Kelantan Peter James Butler dikhabarkan oleh beberapa laman sensawang akan mengambil alih Jawatan Ketua Jurulatih pasukan Terengganu ekoran Jurulatih Mat Zan Mat Aris yang direhatkan.Selepas Kelantan menamatkan kontraknya.dia telah menjadi jurulatih kelab Indonesia Pesib Balikpapan untuk beberapa perlawanan.Diharap dengan kehadiran Peter Butler ke Terengganu dapat memuaskan hati semua pihak terutama penyokong setia Terengganu..dan mungkin dia hanya datang bercuti  ke Terengganu yang mempunyai tempat tempat yang menarik seperti Ken Worden sebelum ini..

Sarawak Mahu Keluar Liga Super ?


SEKSAAN ditanggung pasukan bola sepak Sarawak nampaknya semakin sukar dibendung apabila penyokong skuad Ngap Sayot itu mula memberontak dengan menggesa Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) keluar daripada naungan badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebagai tanda memberontak, mereka mewujudkan satu laman web dikenali petisyen.com yang meminta FAS keluar kerana menganggap hukuman dikenakan ke atas pasukan mereka bersifat zalim.

Laman web itu, mula diperkenalkan semalam dengan kata-kata ‘Dengan hukuman FAM yang semakin bertambah ke atas FAS, kami minta FAS untuk keluar dari FAM. Ini adalah maruah bola sepak kita yang semakin tercalar. FAM perlu diajar dan belajar’.
Sehingga kini lawan web itu sudah menarik hampir 50 peminat selain turut memuatkan komen daripada mereka tidak berpuas hati dengan hukuman dikenakan.

FAS yang dipalit dengan istilah ‘sudah jatuh di timpa tangga’ akibat dua hukuman - selain hukuman dikenakan ke atas Timbalan Presiden, Abu Bakar Marzuki - yang digantung lapan perlawanan serta denda RM8,000 kerana mengeluarkan kenyataan menerusi media.

Sebelum ini, FAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Taufik Tan Sri Abdul Razak mengenakan denda RM75,500 bagi dua kesalahan termasuk RM46,000 bagi kes terbaru kerana membabitkan kesalahan langkah kawalan keselamatan longgar ketika menentang Kelantan dalam saingan Liga Super pada 7 April lalu.
Pada masa sama, FAM turut mengarahkan Sarawak bermain dalam stadium kosong untuk empat perlawanan membabitkan aksi menentang Sabah pada 12 Mei, Selangor (16 Jun), Perak (23 Jun) dan Johor FC (30 Jun).

Hanya beberapa minit selepas laman web itu dihasilkan, satu-satunya persatuan bahagian iaitu Persatuan Bola Sepak Mukah (MuFA) tampil menyuarakan pandangan sama dengan menggesa FAS mengambil keputusan keluar dari FAM.
MuFA melalui Presiden, Abu Seman Jahwie berkata, tindakan FAM itu kejam dan tidak membina untuk sukan bola sepak di negeri itu.

“Tindakan ini bagaikan satu penderaan dan penghinaan kepada rakyat Sarawak. Lebih baik Sarawak tarik diri lebih awal daripada menyertai kempen bola sepak daripada terus dipermainkan mereka (FAM).

“Denda RM75,500 dan beraksi tanpa penonton untuk empat perlawanan sudah keterlaluan dan secara keseluruhan, FAS terpaksa menanggung kerugian RM500,000.

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Memang itu yang kami rasakan kerana tindakan FAM itu boleh diibaratkan seperti mendera FAS. Sudahlah didenda wang tunai, penonton pula disekat daripada berada di stadium,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Liga Super : Kelantan Baham Singa


KUALA LUMPUR: Kelantan menampilkan aksi menarik di hadapan penonton sendiri apabila mengalahkan pendahulu liga Lions XII 3-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan Kelantan merapatkan jurang perbezaan mata dengan ketinggalan dua mata daripada pasukan dari Singapura itu yang mengumpul 36 mata dari 18 perlawanan. 
Kelantan terpaksa menunggu sehingga babak kedua perlawanan apabila S Chanthuru memecah kebuntuan gol pada minit ke-73 sebelum Norfarhan Muhammad menambah gol kedua empat minit kemudian.
Kelantan melabuhkan tirai jaringan pada minit ke-85 menerusia jaringan Rizal Fahmi Abdul Rosid

.Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Mohd Rozaimi Abdul Rahman menceriakan pasukan Sabah apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-20 bagi mengetepikan Felda United 1-0.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan Terengganu berkongsi mata dengan Perak apabila seri 2-2.

Terengganu kini menghuni tangga ketiga liga dengan 26 mata selepas 15 perlawanan manakala Perak berada di tangga kelima dengan 24 mata.

Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana, ATM terus mendominasi kedudukan liga apabila mencipta kejayaan besar membelasah Johor MBJB 7-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

ATM kini mengumpul 32 mata mengatasi Pahang dengan kelebihan jaringan.

Pemain import Alex James menjadi wira apabila berjaya melakukan hatrik dengan jaringan pada minit ke-11, 44' dan 64'.

Hairuddin Omar menyumbang dua gol hasil jaringan pada minit ke-47 dan 53, Fitri Omar pula menjaringkan gol keenam bagi pasukan ATM pada minit ke- 68.

Manakala pemain MBJB, Zainodin Kasmidim menjaringkan gol sendiri pada minit ke-70.

Gol saguhati MBJB  pula disumbangkan oleh Azmi Sarmin pada minit ke-42.

Pahang turut mengutip tiga mata penuh hasil kejayaan mengalahkan Harimau Muda B dengan keputusan 3-2 di Stadium Temerloh.

Gol Pahang disumbangkan oleh Mohd Fauzi Roslan pada minit ketiga, Mohd Azwan Daud (minit ke-62) dan Maycon Inez (minit ke-78).

Manakala dua gol pelawat dijaringkan oleh Mohd Hami Zaref pada minit ke-55 dan Mohd Hadin Azman (minit ke-68).

Sementara itu, Sime Darby pula mengalahkan Perlis 5-1 di Stadium Selayang.

Di Stadium Larkin Johor, Johor menumpaskan N.Sembilan Betaria 3-0 manakala USM FC pula mengatasi PDRM 4-2 di Stadium Mini USM, Pulau Pinang dan MP Muar mengalahkan Pos Malaysia 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Muar.
 - Bernama


Rabu, 2 Mei 2012

Piala FA : Kecuaian Pertahanan Punca Kedah Tewas


ALOR SETAR: Kecuaian benteng pertahanan Kedah merupakan punca utama Kedah sekadar seri 2-2 di Stadium Darul Aman malam tadi, sekaligus melayakkan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 3-3, kata jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan.
Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala FA bertemu dengan Sime Darby dengan kelebihan jaringan di tempat lawan. 
"Kami dihukum dengan kesilapan pertahanan pasukan. Saya telah ingatkan pemain dua gol awal tersebut tidak menjamin bahawa dapat melangkah ke peringkat seterusnya.

"Ini kerana Kelantan amat berbahaya kepada kita sekiranya mereka (pertahanan) beri ruang kepada lawan membolosi gawang Kedah," kata kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Wan Jamak berkata kesilapan pertama berlaku pada minit ke-46, apabila pertahanan Kedah gagal menyekat serangan Kelantan yang mendapat sepakan sudut dan memberi ruang kepada import Kelantan Obinna Nwaneri menjaringkan gol pertama mereka.

Wan Jamak berkata pertahanan Kedah sekali lagi menjadi punca kekalahan pasukan Kedah apabila berlaku salah faham antara pemain pertahanan untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya menyebabkan Mahmoud Ghadar menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60.

Katanya selain itu faktor kegopohan beberapa pemainnya untuk menjaringkan gol menyebabkan mereka gagal menghasilkan jaringan dengan beberapa peluang yang terhidang gagal disudahkan dengan baik.

Sementara itu, jurulatih Kelantan Bojan Hodak berkata beliau gembira dengan kejayaan Kelantan mara ke perlawnan akhir Piala FA walaupun mempunyai jadual perlawanan yang padat sebelum ini apabila terpaksa menghadapi Piala AFC menentang Vietnam 24 April lepas. - BERNAMA