Sabtu, 5 Mei 2012

Sarawak Mahu Keluar Liga Super ?


SEKSAAN ditanggung pasukan bola sepak Sarawak nampaknya semakin sukar dibendung apabila penyokong skuad Ngap Sayot itu mula memberontak dengan menggesa Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) keluar daripada naungan badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebagai tanda memberontak, mereka mewujudkan satu laman web dikenali petisyen.com yang meminta FAS keluar kerana menganggap hukuman dikenakan ke atas pasukan mereka bersifat zalim.

Laman web itu, mula diperkenalkan semalam dengan kata-kata ‘Dengan hukuman FAM yang semakin bertambah ke atas FAS, kami minta FAS untuk keluar dari FAM. Ini adalah maruah bola sepak kita yang semakin tercalar. FAM perlu diajar dan belajar’.
Sehingga kini lawan web itu sudah menarik hampir 50 peminat selain turut memuatkan komen daripada mereka tidak berpuas hati dengan hukuman dikenakan.

FAS yang dipalit dengan istilah ‘sudah jatuh di timpa tangga’ akibat dua hukuman - selain hukuman dikenakan ke atas Timbalan Presiden, Abu Bakar Marzuki - yang digantung lapan perlawanan serta denda RM8,000 kerana mengeluarkan kenyataan menerusi media.

Sebelum ini, FAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Taufik Tan Sri Abdul Razak mengenakan denda RM75,500 bagi dua kesalahan termasuk RM46,000 bagi kes terbaru kerana membabitkan kesalahan langkah kawalan keselamatan longgar ketika menentang Kelantan dalam saingan Liga Super pada 7 April lalu.
Pada masa sama, FAM turut mengarahkan Sarawak bermain dalam stadium kosong untuk empat perlawanan membabitkan aksi menentang Sabah pada 12 Mei, Selangor (16 Jun), Perak (23 Jun) dan Johor FC (30 Jun).

Hanya beberapa minit selepas laman web itu dihasilkan, satu-satunya persatuan bahagian iaitu Persatuan Bola Sepak Mukah (MuFA) tampil menyuarakan pandangan sama dengan menggesa FAS mengambil keputusan keluar dari FAM.
MuFA melalui Presiden, Abu Seman Jahwie berkata, tindakan FAM itu kejam dan tidak membina untuk sukan bola sepak di negeri itu.

“Tindakan ini bagaikan satu penderaan dan penghinaan kepada rakyat Sarawak. Lebih baik Sarawak tarik diri lebih awal daripada menyertai kempen bola sepak daripada terus dipermainkan mereka (FAM).

“Denda RM75,500 dan beraksi tanpa penonton untuk empat perlawanan sudah keterlaluan dan secara keseluruhan, FAS terpaksa menanggung kerugian RM500,000.

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Memang itu yang kami rasakan kerana tindakan FAM itu boleh diibaratkan seperti mendera FAS. Sudahlah didenda wang tunai, penonton pula disekat daripada berada di stadium,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan