HAJAT Selangor meraih kemenangan berturut-turut buat kali pertama musim ini tidak kesampaian, sebaliknya mereka pula diaibkan di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi ke-16 Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Selangor yang menguasai permainan selepas itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16, namun sepakan Safiq Rahim hasil gerakan satu dua menarik dengan Bosko Balaban sempat ditepis keluar penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias.
Firdaus terpaksa digantikan Nazrin Nawi pada minit ke-30 selepas mengalami kecederaan tetapi empat minit berselang, Negeri Sembilan berjaya menambah gol kedua menerusi rembatan kencang Ahmad Shakir Md Ali di depan pintu gol selepas tandukan awal Marian Farbak sekadar ditepis lemah Jeevananthan.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan terus selesa apabila berjaya mendapatkan gol ketiga, juga menerusi Ahmad Shakir pada minit ke-63 selepas percubaan tidak berbahaya penyerang kebangsaan itu dari luar kotak penalti sudah cukup untuk memperdayakan Jeevananthan yang tersalah langkah.
Gol sagu hati Selangor hanya menjelma pada masa kecederaan menerusi penyudah kemas Balaban untuk gol kelapannya dalam saingan liga musim ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan