Isnin, 13 Februari 2012

AKSI TIDAK MENJADI N9 DI SINGAPURA

“INI persembahan terburuk kami setakat ini, walaupun ada faktor lain seperti padang tiruan,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, mengulas kekalahan kepada LionsXII, 1-3 dalam saingan Liga Super, di Stadium Jalan Besar, malam kelmarin.
Menurut pengendali berpengalaman itu, kegagalan skuad Hoben Jang Hoben beraksi pada tahap keupayaan sebenar, memberi peluang kepada anak didik V Sundramoorthy mendominasi permainan.


Malah katanya, kekuatan pasukan turut terjejas apabila pemain tengah, Rashid Mahmud dan penyerang gantian Mohd Firdaus Azizul, mengalami kecederaan.
“Kita akur dengan kelebihan skuad LionsXII, tapi sedikit kesal kerana pemain gagal mengekalkan rentak hingga mudah pemain tuan rumah mengaut kesempatan.


“Keadaan itu meranapkan impian kami untuk mencari sekurang-kurang satu mata,” katanya, semalam. Negeri Sembilan kini turun satu anak tangga ke tempat kelima, berkongsi mata dengan LionsXII.


LionsXII melakar kemenangan menerusi dua gol Shahril Ishak dan Shahdan Sulaiman, satu manakala gol sagu hati Negeri Sembilan dijaringkan Mohd Firdaus.
Bagi Azraai, kekalahan itu perlu dijadikan iktibar sekiranya tidak ingin reputasi Negeri Sembilan selaku juara Piala Malaysia, tercalar.


Sehubungan itu, beliau mahu anak buahnya bangkit meraih kemenangan dalam perlawanan berikutnya, bertemu PKNS FC.


Menurutnya, reputasi pasukan perlu dipertahankan bagi memastikan impian merangkul kejuaraan tidak tersasar, justeru setiap pemain perlu memberikan fokus serta komitmen tinggi.


“Saya berharap kekalahan kepada LionsXII itu tidak mematahkan semangat dan komitmen pemain, sebaliknya sebagai pengajaran untuk menebus kesilapan dalam perlawanan berikutnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan