Sabtu, 18 Februari 2012

PIALA FA : EFFA OWONA TARUHAN N9

PENYERANG berbisa, Jean-Emmanuel Effa Owona sekali lagi menjadi taruhan Negeri Sembilan dalam misi melakar kemenangan ke atas Johor FC pada saingan pembuka tirai Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Pemain import dari Cameroon itu yang sudah meledak lima gol dalam saingan Liga Super, hampir pasti menerajui barisan depan skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah yang turun dengan reputasi selaku pasukan yang pernah menjulang trofi itu.

Bagi Owona yang menjaringkan gol ketika seri 1-1 dengan PKNS FC di gelanggang sama, Selasa lalu, dia bertekad meneruskan aksi cemerlang itu dan menjaringkan gol bagi memastikan Negeri Sembilan melangkah lebih jauh dalam saingan kalah mati itu.
“Saya akan terus berusaha mempamerkan aksi cemerlang bagi membantu kami mencapai kemenangan kerana Piala FA antara trofi utama dalam saingan Liga Malaysia.

“Sudah tentu impian merangkul kejuaraan bukan mudah tapi kami harus yakin pada diri sendiri dan bukan mustahil untuk dicapai andai semua pemain memberikan kerjasama dan komitmen penuh terhadap tanggungjawab bermula cabaran menentang Johor FC.



“Sebagai pasukan yang pernah menjulang Piala FA, kami bertanggungjawab mempertahankan reputasi itu dengan memastikan kemenangan pada aksi pertama ini,” katanya.
Owona yang dijangka bakal bergandingan dengan penyerang muda, Ahmad Shakir Md Ali di barisan depan mengaku pergerakannya nanti bakal dikawal ketat pertahanan lawan tapi dia akan berusaha melepasi setiap halangan kerana misinya adalah untuk terus melakukan jaringan sekalipun dalam situasi sukar.

Dia amat berharap mendapat kerjasama padu rakan lain dalam usaha menjelmakan kemenangan apatah lagi aksi di halaman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

SUMBER : Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan