Sabtu, 17 Mac 2012

ATM TERAJUI LIGA PERDANA

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) terus utuh menerajui Liga Perdana biarpun gagal mengutip tiga mata penuh setelah mencatat keputusan seri 2-2 kepada Majlis Perbandaran Muar di Stadium Sultan Ibrahim, Muar hari ini.

Keputusan seri tidak menjejaskan kedudukan skuad bimbingan B. Sathianathan itu untuk terus berada di puncak liga dengan mengumpul 22 mata iaitu dengan
kelebihan dua mata di hadapan pencabar terdekat Pahang.
MP Muar bermula garang apabila Mohammad Ezaidy menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-10.
Tersentak dengan gol tersebut, ATM mula memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menembusi kubu MP Muar menerusi jaringan A. Varathan pada minit ke-15.
Kegembiran ATM tidak kekal lama apabila Khairul Anwar menjaringkan gol kedua untuk MP Muar pada minit ke-29.
ATM kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol yang dijaringkan oleh Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-58.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencatat keputusan seri 1-1 kepada Sime Darby.
Gol Sime Darby hadir seawal minit kedua hasil jaringan Patrick Ronaldinho manakala gol PDRM dijaringkan oleh Khairul Izuan pada minit ke-83.
USM FC pula menewaskan Johor 2-1 di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang.
Khairul Anwar menjadi wira USM FC apabila berjaya menyumbang dua gol pada minit ke-70 dan 80, manakala gol saguhati pelawat disumbangkan oleh Hamzani Omar
pada minit ke-94.
NS Betaria mengalahkan pasukan tercorot, Harimau Muda B 3-2 di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Gol NS Betaria dijaringkan oleh Michael Chukwubunna Ijezie pada minit ke-50 dan ke-71, gol ketiga dijaringkan oleh L.Rajesh pada masa tambahan.
Manakala gol Harimau Muda B disumbangkan oleh Muhd Akhir Bahari pada minit ke-62 dan Muhamad Farizzuan Azhar pada minit ke-79.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula, Pos Malaysia terikat 1-1 kepada Pahang.
Sementara itu dalam satu perlawanan Liga Super Felda United terikat 0-0 kepada Selangor PKNS di Stadium Hang Tuah, Melaka malam ini.
 
Pasukan tuan rumah mempunyai banyak peluang namun gagal disempurnakan dengan baik sehingga tamat perlawanan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan