TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah, berharap rakan sepasukan bangkit dengan persembahan lebih baik bagi melakar kemenangan apabila ‘melayan’ Kedah, dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok.
Menurutnya, Negeri Sembilan perlu kembali ke landasan kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Johor FC dalam saingan Piala FA di Paroi dan Kelantan dalam aksi liga di Kota Bharu.
Katanya, kemenangan ke atas Kedah penting bagi memastikan tiga mata berharga berada dalam genggaman sekali gus mengelak pasukan terus berada dalam situasi sukar memburu kejuaraan liga musim ini.
“Pasukan tidak boleh lagi tercicir mata kerana ia bakal memberi tekanan dalam misi memburu kejuaraan liga, lebih-lebih lagi dengan situasi pentas saingan yang kian sengit dan mencabar.
“Saya berharap semua pemain dapat memberikan kerjasama berasaskan semangat berpasukan tinggi untuk merealisasikan sasaran kemenangan pada perlawanan menentang Kedah.
“Kelebihan beraksi di laman sendiri itu nanti perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengutip tiga mata kerana sebarang keputusan negatif sudah pasti meletakkan pasukan pada situasi sukar untuk memburu kejuaraan liga,” katanya semalam.
Pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu turut mengingatkan rakan lain supaya berhati-hati dengan kebangkitan Kedah selepas skuad berkenaan menyingkirkan Perlis, dalam saingan Piala FA, minggu lalu.
Katanya, skuad hijau Kuning itu juga sudah mula membuktikan kemampuan sebenar apabila mendapat kembali sentuhan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan.
“Kami perlu lebih berwaspada kerana Kedah sudah mendapat suntikan semangat baru apabila layak ke suku akhir Piala FA,” katanya.
Sumber : HarianMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan