SEREMBAN – Selepas beraksi cemerlang membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, kudrat Jean-Emmananuel Effa Owona (gambar) terus ditagih bagi membenam Selangor dalam perlawanan sulung Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, ayam tambatan dari Cameroon itu kini berada dalam prestasi baik dan cergas untuk diturunkan membantu pasukan mengutip tiga mata pertama.
‘‘Secara pasti kita akan menurunkan Effa Owona yang merupakan satu-satunya pemain import kita yang diharapkan dapat membantu jentera serangan merobek kubu pertahanan Selangor.
‘‘Biarpun kita baru menjuarai perlawanan Sumbangsih, perlawanan esok (hari ini) adalah berbeza, jadi kita akan melakukan perubahan pemain selepas menilai prestasi mereka,” katanya di sini, semalam.
Tambahnya, pemain senior seperti Mohd. Shukor Adan dan Idris Karim mungkin akan disenaraikan untuk perlawanan itu, tetapi keputusan itu bergantung kepada nasihat dan ujian pakar perubatan pasukan.
Mohd. Azraai turut memberitahu, beliau tidak menjadikan faktor bermain di gelanggang sendiri sebagai satu kelebihan kepada pasukannya kerana secara logiknya semua pasukan pasti bersemangat untuk beraksi cemerlang pada perlawanan pertama pembukaan liga.
‘‘Lagipun siapa yang tidak kenal Red Giants, sebuah pasukan yang hebat dan dibarisi pemain ternama. Apatah lagi, Ifran Bakti dan Selangor sendiri mempunyai sasaran untuk menjuarai piala penting,” ujarnya.Sementara itu, Effa Owona berjanji akan mempamerkan sentuhan pemusnah sebenarnya apabila bertemu Selangor.
‘‘Ini satu permulaan (gol perlawanan Piala Sumbangsih) dan saya percaya akan menjadi tumpuan pertahanan lawan. Bagaimanapun, saya yakin ia bukan halangan kerana tugas saya adalah menjaringkan gol,” katanya.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan