KESUNGGUHAN dipamer beberapa pemain muda Negeri Sembilan sejak awal saingan Liga Super musim ini, termasuk ketika seri 2-2 dengan Sarawak, Sabtu lalu, dipuji ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah.
Antara mereka adalah Mohd Nazrin Mohd Nawi, Badrul Zaman Abd Halim dan Mohd Zulfaizham Ismail.
Menurut pengendali berpengalaman itu, semangat tinggi dan peningkatan ditunjukkan pemainnya membantu mengukuhkan lagi pasukan yang berdepan cabaran sengit untuk mengungguli carta liga dan seterusnya menjuarai kejuaraan.
“Pemain muda skuad Piala Presiden yang kita turunkan dalam beberapa perlawanan menunjukkan persembahan membanggakan dan ia baik kerana cabaran dihadapi semakin sengit. Apapun, keupayaan Ahmad Shakir (Md Ali) terus menyumbat gol amat melegakan.
“Ini kerana kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona kerana dia pasti dikawal ketat pihak lawan seperti pertemuan dengan Sarawak itu.
“Malah, dalam perlawanan itu, Effa terpaksa dikejarkan ke hospital sebaik tamat perlawanan kerana mengalami kecederaan selepas bertembung dengan pemain Sarawak,” katanya.
Azraai berkata, beliau akan terus menggunakan khidmat pemain muda untuk didedahkan supaya mereka lebih yakin berdepan cabaran saingan kompetitif Liga Malaysia.
Sumber: Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan